Followers

Saturday 30 June 2012

tua dah aku



Yeah, dalam masa beberapa jam lagi, mahluk tuhan ni akan berusia 22 tahun. Adakah aku excited kerana no pangkal 21 tu akhirnya naik ke satu angka? Jawapan aku mestilah tak, nak tau sebab apa? Sebab aku tahu, setiap saat yang  aku tinggalkan bersamaan setiap saat aku menghampiri saat kematian.

Apa yang berlaku hari ni? Family aku sambut birthday aku sehari lebih awal, sebab hari Isnin ni aku ada kelas, so  jamuan cukup simple. Take away KFC dan Pizza Hut dan makan kat rumah. Sebab aku manusia yang suka buat sesuatu perkara tu jadi simple. Mula – mula aku cadang nak sambut makan tom yam kat kedai tanjung Muar tu. Ni semua gara – gara aku kenal mamat siam jadi tukang masak kat situ. Tapi niat aku terpaksa dibatalkan kerana sebuah kereta keluarga masuk bengkel. So tak muat nak letak 7 orang ahli dalam sebuah kereta proton saga. Dah la adik beradik aku sorang – sorang kus semangat.

Hari ni, aku deactive facebook aku sampai 2 Julai sat.  Dulu mula – mula rasa excited la kan. Orang wish birthday kat wall kita. Rasa dihargai la kononnya. Last – last aku rasa cam pelik je. Mungkin sebab aku bukan lagi budak sekolah yang baru kenal facebook. SO aku amik tindakan untuk melenyapkan diri aku seketika dari laman sosial tu.

Ulang tahun, hari jadi, adalah benda rutin sebenarnya. Kalo nyawa aku panjang sampai 20 tahun, it means 20 kali aku akan mengadap hari yang sama Cuma dengan tahun yang berbeza.

Umur aku dah nak masuk 22,  banyak benda yang cuba aku lihat dan rungkai. Aku cuba belajar dari pengalaman dan kerana pengalaman tak selalunya manis, jadi banyak juga kesilapan yang pernah aku buat dalam hidup ni.

Aku pernah lukakan hati – hati orang yang menyayangi aku, dan tak lupa gak sepanjang hidup ni aku kenal pelbagai orang dan ragam. Sepanjang hidup ni, aku belajar mengenal tanggungjawab dan cuba laksanakan sesuatu tugas yang diamanahkan sebaik mungkin. Walaupun tak sebaik orang lain, aku tetap cuba untuk menjadi lebih baik dari semalam.

Aku kadang – kadang cuba membandingkan diri aku dengan orang lain ( kebanyakkannya kawan – kawan sebaya). Ada orang kata tindakan seperti itu hanya merugikan diri sendiri, kerana hanya dua kemungkinan yang biasanya berlaku, kita akan berasa cemburu ataupun rendah diri tahap kronik kerana kejayaan kawan – kawan kita.

Erm, aku tak buat perbandingan berdasarkan kejayaan semata – mata. Aku lihat jalan yang dia lalui dan cabaran yang dia tempuhi. Bukan senang untuk mencapai kejayaan, biarpun kejayaan nampak manis padahal di sebalik dinding, penuh dengan onak dan duri yang terpaksa dilalui. Kita biasa cemburu dan iri hati melihat kejayaan orang lain, tapi jarang – jarang kita cuba menjadikan kesusahan dirinya sebagai satu insipirasi untuk kita mencapai kejayaan dalam diri kita.

Aku berkawan dengan sesiapa sahaja, baik dari seorang yang bekerja tidak memerlukan kelulusan tinggi sehinggalah mereka yang mempunyai degree, Master dan sebagainya. Bagi aku kelulusan ijazah tidak mencerminkan kewibawaan seseorang. Sebaliknya tinggi ilmu dan budi perkerti itu menjadikan individu tersebut mulia di mata manusia.

Berumur awal 20 an, aku cuba melawan fitrah diri aku, iaitu panas baran. Aku cepat marah tapi cepat sejuk tapi aku sering terlupa bahawa saat ‘cepat marah’ boleh melukakan hati orang ramai di sekeliling aku dalam sekelip mata. Dan di saat ‘cepat sejuk’ membuatkan aku sedar kesilapan aku, namun aku sedar, saat itu sudah terlambat.

Belajar untuk menjadi seorang yang sabar, belajar untuk menjadi seorang ketua, belajar menjadi orang yang menerima amanah dan belajar untuk menghargai cinta. Walaupun aku seorang lelaki yang ramai kawan perempuan, tapi aku rasa rekod kesetiaan aku tak pernah lagi tercalar, haha. Sesiapa yang pernah tinggalkan aku, mesti korang rasa bersalahkan? Relax lah, sedangkan roti di mulut boleh terlepas ke tangan orang lain. Inikan pulak jodoh yang tidak nampak zahirnya.

Cukuplah bebelan dan luahan hati, aku tengah tunggu si dia ni. Kata nak wish sama – sama,  dan dia mungkin tak tahu, aku ni cepat merajuk. So kepada reader. Aku rasa mesti korang cari blog aku pas aku deactive fb aku kan? Thank u sebab concern dan thank u sebab ingat hari jadi aku. Semoga Allah membimbing aku menjadi manusia yang baik. Amin

Thursday 28 June 2012

Lelaki Johor rajin?



Lelaki johor rajin? Entahlah, satu pandangan stereotype yang agak dangkal bagi aku. Kadang – kadang kita memang tak boleh nak menilai sesuatu sifat golongan tempatan mengikut logistik dan faktor geografi.

Sebelum aku menulis lebih panjang, sewajarnya aku nak bagitau yang aku merupakan Johorean sejati. Abah aku dari Batu Pahat, dan mak aku dari Muar. Dan kalo check balik surat beranak aku, dilahirkan di Hospital besar Muar dan pertengahan Ic aku O1.  Cukup lengkap bukti untuk menerangkan aku juga Johorean dan harapnya tiada mana – mana pembaca cuba membuat kesimpulan awal yang aku ni orang negeri lain dan cuba memburuk –burukan imej prestasi lelaki Johor yang boleh dijadikan calon menantu pilihan.



Back to the main question, lelaki Johor rajin? Satu soalan dari kawan, mungkin kerana buah hatinya orang Johor dan timbul rasa ingin tahu mengenai tabiat lelaki Johor dari perspektif aku.  Aku hanya tersenyum, tak tau nak cakap apa. Kalau di iya kan, nanti mereka cakap, orang Johor ni bangga diri, Kalau dikata tidak, mulalah orang kampung kata aku tak sedar diri.

Jawapan aku, sebenarnya mengikut perangai dan tabiat orang tu gak sebenarnya. Kalau dari kecil dia didedahkan dengan persekitaran gotong royong, kenduri kendara ataupun selalu disuruh tolong mak dia buat – buat kerja rumah, even dia duduk kat planet Marikh pun, dia akan tetap bawa tabiat rajin dia. Kelas tak jawapan aku? So bagi aku, malas dan rajin seorang lelaki bukan dinilai berdasarkan faktor geografi tapi lebih kepada pendidikan keluarga tu sendiri.

Aku orang Johor, tapi aku rasa kerajinan aku di peringkat biasa- biasa je.  Aku suka buat kerja ladang, sebab aku suka. Even bapak aku tak bagi duit gaji pun, aku tetap suka pikul tong racun dan meracun 5 , 6 ekar dalam masa sehari.  Aku suka membaja pokok sawit sebab hasil buahnya nanti abah aku dapat, dan  benda paling best dalam hidup aku adalah tengok abah aku senyum sebab tak risau sangat pasal masalah kewangan disebabkan hasil sawit ada.



Aku tak rajin sangat buat kerja rumah. Mungkin kerana permikiran aku agak kuno sikit. Aku selalu harapkan adik – adik perempuan aku masak dan kemas rumah. Yer la kan, kerja ladang aku dah buat, korang buatlah kerja rumah. Well dan macam biasa tabiat buruk selalu abah aku tegur.  Abah kata tak elok lelaki malas – malas. Nanti kalau bini kau mengandung, tak kan kau nak suruh dia basuh baju untuk kau, kalau bini kau nak beranak nanti, tak kan kau nak suruh bini kau masak. Itu baru ada anak sorang, kalau 5 orang anak?



Erm, style tak jawapan abah aku? Sentap kan? So untuk mengurangkan situasi tegang, aku pun buatlah kerja – kerja rumah. Mungkin betul cakap orang tua – tua, perkahwinan adalah bukan semata – mata pencantuman antara penis dan vagina, tapi lebih kepada tolak ansur dalam keluarga.  So sebagai lelaki, kenalah kurangkan sikit ego, dan tolonglah isteri anda di dapur (tak kira kau asalJohor, negeri Sembilan atau Sabah Serawak sekalipun)



 Aku suka buat kerja rumah kalau adik perempuan aku yang pertama tu tak de. Maksudnya, kalau dia cuti belajar, dia handle bahagian kemasan dalam rumah dan masak memasak. Aku plak handle bahagian kemasan luar rumah macam sapu sampah, bersihkan longkang, bakar sampah dan sebagainya. Kalau adik aku habis cuti sem. So aku handle semua, dari kemas rumah sampai masak.

ayam masak lemak cili api, telur masak kicap dan sayur goreng. Senang je.


Lelaki Johor pandai masak?  Tolonglah jangan sterotype. Masak tu adalah kemahiran dan kehendak individu. Kalau laki kau asal overseas sekalipun, dia boleh masak masakan Melayu, itu adalah kerana minat dan kehendak dia sendiri untuk belajar masak.

So point aku sebenarnya kita tak boleh nak menilai kerajinan seorang lelaki berdasarkan negeri. Dan kerajinan lelaki itu bersifat luas ye puan – puan. Rajin juga boleh dikelaskan kepada minat yang berbeza – beza . Rajin kumpul harta, rajin tolong isteri, rajin beribadat dan rajin berpoligami.


Kau sentap? Bawaklah bersabar. hahaha

Tuesday 26 June 2012

membaca.


Masuk ni, dah dua minggu rasanya aku menetap di Terengganu. Awal sem, banyak waktu – waktu di kelas aku terbuang, mungkin kerana lecture aku sendiri mempunyai komitment lain dalam pelbagai urusan di IPG.

Dan seperti biasa, waktu – waktu kosong tersebut dijadikan I.S.L yang membawa maksud independent self learning atau dalam bahasa kasarnya, ikut suka lu.  Dan demi menjadikan waktu – waktu ikut suka aku sedikit ilmiah dari biasa. Aku pun pergilah menjejakkan kaki ke perpustakaan.

Wow? Terkejut. Aku bukannya kaki study, tapi aku kaki membaca. Aku suka membaca hasil nukilan penulis yang menulis berdasarkan pengalaman mereka . Walaupun hasil tulisanya tidak membawa erti apa – apa kepada orang ramai. Tapi bukan ke manusia itu suka menilai berdasarkan pemerhatian, dan bukannya pembacaan, dan kadang kala, nilai di sebalik pengalaman itu lebih bermakna berbanding caci keji kerana pemerhatian kita bersifat sebelah pihak sahaja.

Kadang – kadang membaca dari pengalaman orang, akan menjadikan kau lebih bersedia untuk merungkai masalah di sekeliling. Cuba kurangkan novel cinta, maksud aku, bukan novel tu tak bagus. Cuma kadang – kadang, bila pengalaman hidup ko mengenai cinta, ko akan hilang focus. Percayalah aku, anggap cinta itu satu keperluan, bukannya satu kewajipan penting dalam hidup.

seorang imam

seorang imam tak bisa cerewet dalam memilih makmumnya, tapi makmum berhak untuk cerewet untuk memilih imam mereka. Hal ini sangat mudah, kerana imam dipertanggungjawabkan untuk membimbing makmum dalam solat.

hal yang cukup mudah difahami tapi kenapa aku masih lagi terawang - awang...Kehadiran mu membuatkan ku bahagia, tapi pada masa yang sama aku derita dengan kelemahan diri sendiri. Mungkin kau tak mengerti, di waktu magrib tadi, air mata aku meruntun jatuh dalam sujud rakaat ketiga. 

aku masih lagi tidak yakin dalam membimbing siapa2 dalam solat ku. Bagaimana aku ingin dipertanggungjawabkan untuk membimbing mu....

aku takut kehadiran mu sekadar pinjaman Allah, untuk menyedarkan betapa banyak khilafnya diri ini. Tapi pada masa yang sama aku teringin memiliki mu. Tapi wajarkah seorang fakir agama menerima sebuah permata ciptaan Mu Ya Allah...


Monday 25 June 2012


Aku tutup buku 'Mengatasi Rasa Marah', hasil nukilan Dr Fadzilah Kamsah. Melihat Jam di handphone menunjukkan jam 2.15 pagi. Mungkin penyakit tidak boleh tidur sudah mula menghantui diri. Sementara melihat screen laptop. Terasa sunyi di waktu malam,  ops, maksud aku, awal pagi. Si dia sudah tidur dan sms terakhirnya menguntum senyuman di wajah ku.

Ya,  aku sudah tidak lagi keseorangan, aku suka perasaan ni, Cuma aku takut untuk kecewa, kali berapa pun aku tak tahu. Malam merenung masa depan, mungkin bagi umur 22, adalah menjadi perkara biasa untuk golongan seperti aku. Mencari erti makna hidup, di samping mengira – gira waktu sekiranya umur aku tidak panjang.

Alhamdulilah, jalan aku rasa dipermudahkan dari setiap perkara. Kita sering merungut akan sesuatu musibah, rasa kesunyian dan kebuntuan sering merajai diri. Namun kita lupa pertolongan Allah itu ada walaupun acap kali aku melupakan perintahnya. Hidup seperti kebudak – budakan, namun aku sedar maut sering merindui untuk bertemu. Dan jika saat itu menjelma, adakan aku akan bersedia?

Thursday 21 June 2012

kau nilai murid kau atas dasar apa?

Penilaian dan pengukuran. sebagai seorang bakal guru, atas dasar dan standard apakah kau akan mengukur potensi anak - anak murid kau nanti? satu saoalan yang sering bermain di minda aku. Adakah aku akan menjadi seorang guru yang penyayang, atau seorang guru yang sterotype yang bisa menghukum masa depan muridnya mengikut emosi dan perasaan semata - mata.

Ya, lapangan aku sekolah rendah, namun kelulusan aku nanti sama sahaja dengan seorang guru yang mengajar di sekolah menengah. Bukan gred gaji yang menjadi persoalan tapi lebih menyentuh kepada komitmen diri sebagai individu yang dipanggil cikgu.


Aku mengajar mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan. Setiap strategi pengajaran dirancang rapi selari dengan objektif pembelajaran yang sesuai dengan keupayaan pelajar. Semua hasil penilaian murid perlu dikaji dan guru akan melihat balik kekuatan dan kelemahan murid tersebut. Ada benda yang sepatutnya semua guru kena sedar, penilaian tidak seharusnya berlaku antara satu pihak kerana tanpa kita ketahui, murid juga bijak menilai guru.


Sejujurnya, aku juga pernah menilai guru ketika bergelar pelajar sekolah. Kesan dari penilaian awal remaja, aku sering menjauhi individu yang dipanggil cikgu, kerana mereka tidak mengetahui dan tidak memahami kehendak seorang murid. Yakninya, aku bukan pelajar pintar, dan sering kali dianggap sebagai murid kelas pertengahan dan dianggap picisan oleh sesetengah guru kerana masalah tingkah laku. 

Aku pernah diherdik, lebih dari beberapa kali oleh guru, dirotan juga sudah lali. Diperlakukan deraan emosi dan fizikal dari tanggapan seorang pelajar. Dan pernah juga aku mencuba untuk mogok study dan guru penolong kanan ( sekarang sudah bersara) acap kali menggugut untuk memberhentikan aku dari sekolah yang terkenal dengan prestasi tinggi di daerah itu. 


Sekarang, aku kembali, dan ternyata guru yang mengatakan aku akan berakhir dengan masa depan kelam, tertelan ludahnya sendiri. Bagi aku, siapa kita hendak menghukum masa depan murid bagaimana hujungnya nanti? Tidakkah mereka mengerti jika semua murid diajar untuk menjadi doktor, arkitek, engineer, guru dan sebagainya, siapa yang akan menjadi peniaga? usahawan muda? programmer atau apa - apa sahaja yang selari dengan keupayaan dan minat mereka?

Bagi aku, setiap murid adalah sama, tiada perbezaan sama ada murid kelas pertama, pertengahan ataupun akhir. Yang membezakan mereka adalah minat, bakat dan motivasi mereka sendiri. Jika murid kau bercita - cita untuk menjadi pemandu lori, kerana ayah dia pun drebar lori, tak sepatutnya kau perkecilkan motivasinya. Sekurang - kurangnya, bagitau, cita - cita awak mulia, tapi apa kata awak up lagi, jadi tokey lori, buat perniagaan sendiri, jadi owner kepada lori awak tu.


Apa yang aku kesalkan, tak ku sangka, tabiat menilai dan mengumpat murid/pelajar di kalangan guru masih lagi berlegar - legar dalam bilik guru. Mereka berbincang tentang masalah tingkah laku murid, tapi mereka tak menyelesaikannya secara proffesional. Bagi aku, sampai bila tabiat ni akan berakhir? Guru hakikatnya adalah pembimbing, bukan penghukum. 


Kalau kerja guru adalah untuk buang murid, baik jadi tukang sapu. Kerja kita adalah untuk polish bakat dan keupayaan murid, bukan untuk menilai murid atas berapa banyak A yang dia dapat. Ya aku tak nafikan, sistem pendidikan kita bertunjangkan peperiksaan, tapi peperiksaan itu tidak mencerminkan kejayaan murid pada kehidupan selepas alam persekolahan. Berapai ramai kita lihat, murid yang mempunyai keputusan peperiksaan yang cemerlang, tapi kejayaan di alam kerja hanya di peringkat sederhana. Dan tanpa kita sedari, murid yang pernah kita hina sewaktu alam persekolahannya dahulu kini berjaya memiliki perniagaannya sendiri dan mampu menyewa tempat di shoping complek yang besar yakninya, sewa bulanan tidak kurang dari rm 2 ribu sebulan?

Nilailah murid seadanya, jika mereka silap, maka tegurlah mereka, sedikit peringatan dan amaran, namun sedarkan mereka sebab mengapa mereka dihukum. Murid bukanya bodoh, mereka mengerti sebab dan akibat sesuatu perlakuan. Dengan cara ini mereka akan belajar, baik mereka kelas pertama, pertengahan mahupun kelas akhir. 

nota de kaki: aku sangat berterima kasih pada guru pendidikan khas dan guru pemulihan. Aku tak pandai baca sampai darjah dua, terus guru kelas aku campak aku ke pendidikan khas, Nasib baik cikgu tu caring, dan dari kelas pendidikan khas, aku naik ke pemulihan, dan dipendekkan cerita, aku jumpa lagi cikgu tu balik di sekolah aku buat praktikal dulu. Cikgu tu menangis terharu. dan aku rasa dia pun tahu, dalam hati aku sebak, sebab tanpa dua orang cikgu tu. Hidup aku mungkin tak di tahap ni. Terima kasih cikgu

kau cari yang cantik atau yang dengar kata?

Semua lelaki cari perempuan cantik? itu fakta, kalau ko tengok berapa ramai kawan perempuan ko berhias semata - mata untuk kelihatan cantik di pandangan mata lelaki. Baik pakaian, make up, dan minyak wangi, semua itu cuma satu cara untuk menarik perhatian kaum adam.

balik pada tajuk asal, cari yang cantik atau budi bahasa? Check balik definisi cantik kamus dewan edisi terbaru

cantik

  1. sangat menarik apabila dipandang (berkenaan (dengan) orang perempuan, rupa muka, bangunan, benda, pemandangan, dan lain-lain), sangat elok (bagus, molek)
    Ayat: gadis yang cantik ; barang-barang perhiasan yang cantik ; bagaimanapun cantik nya satu-satu rancangan, tidak akan berjaya jika tidak diturut kehendak rancangan itu dengan ikhlasnya
Pernah tak korang dengar peribahasa moden 'yang cantik tu lah susah nak jaga, dan yang paling gorgeous itu adalah paling tinggi maintenance nya. Tak pernah? anggaplah itu peribahasa individu.  Cantik bersifat subjektif, itu betul. Takrifan kecantikan seseorang wanita berbeza mengikut klasfikakasi standard dan penilaian seorang lelaki. Jika kau seorang wanita, dan kau seorang yang boleh dikelaskan sebagai orang yang cantik, jadi ko patut bersyukur.



Ramai wanita ingin kelihatan cantik kerana perhatian seorang lelaki dan orang awam. tapi mereka lupa kecantikan fizikal itu tidak kekal dan bersifat sementara. Semua benda yang baru akan buruk, dan semua individu yang cantik juga akan kerepot. Jadi bagi aku, jika wanita itu cantik, itu hanya luaran, dan aku seorang yang jujur, jika wanita itu cantik dari pandangan aku, aku pujinya cantik, tapi aku juga manusia yang berhati perut, jika seorang wanita meminta pandangan tentang keindahan dirinya, satu coment ikhlas dari ku, ' kau cantik dan percayalah make up hanyalah pembantu, kau tetap indah tanpa mereka (bahan kimia).


Semua orang suka awek yang cantik, tapi perempuan selalu terlupa yang lelaki lebih perlukan isteri yang dengar kata dan taat setia. Aku bukannya alim, dan tak lupa gak aku lelaki yang tak kurang setannya, tapi untuk mencari isteri, aku prefer yang lebih dengar kata, pandai jaga tutur bicara dan kecantikan asli seorang wanita lebih terserlah apabila dia menumpahkan kelembutan dan taat setianya pada si suami.




Adakah aku seorang yang jiwang malam ni? tak juga, to be realistic, kecantikan dan ketampanan seseorang individu itu tidak kekal, tapi budi bahasa dan perangai yang baik itu lebih bersifat tahan lama. Pipi awek kau gebu pada awal remaja 20 an, cukup 50 tahun yang gebu tu sama ada akan montel dan tembam, atau yang tinggal hanya tulang pipi, buah dada yang mantap pun akan jatuh, bf ko ada six pack?  after 40 years, yang tinggal hanya 1 pack, dan aku mungkin salah seorang dari padanya.

Back to the main topic, kau cari yang cantik atau budi bahasa?  macam pak cik aku cakap, nak cari isteri, cari yang dengar kata, yang boleh kau harapkan untuk jaga kehormatan keluarga sama ada kau ada atau pun time kau pergi out station. Carilah seorang wanita yang bersifat keibuan, yang boleh mendidik anak - anak kau. Biarlah dia tak score markah 9 per 10 kecantikan kulit macam iklan pencerah muka, tapi sekurang - kurangnya dia score gred A + dalam pengurusan rumah tangga. 




Cakap kosong tak guna gak, aku tengok pak cik aku selalu out station, tapi anak - anak dia semua menjadi, sebab orang rumah dia memang pandai mengurus semuanya.  Result exam anak - anak dia semua cemerlang, dengar kata dan sebagainya. Kita belajar dari pengalaman orang. Yang baik kita jadikan tauladan, yang buruk kita jadikan sampah, kitar semula supaya ia boleh dijadikan pengajaran yang berguna buat kita semua.

nota de kaki: apakah itu perkahwinan bagi perspektif aku? perkahwinan adalah penyatuan dua individu yang berbeza jantina yang telah melalui prosuder yang betul, secara amnya adalah nikah. Perkahwinan adalah mengenai bagaimana dua individu tersebut bertolenransi membina kepercayaan dan komitmen dalam menghasilkan sebuah keluarga. perkahwinan secara amnya adalah bermula apabila, si lelaki melafazkan, aku terima nikahnya, dan terhenti sejenak apabila, satu hari nanti, si suami atau si isteri cakap dalam hati, aku mandikan jenazah kau hari ni, dan tunggulah, aku akan menyusul tak lama lagi. 

mode: jiwang tak masal~.

Tuesday 19 June 2012

mari merepek di awal sem



Damn….one word that would describes everything. Aku sebenarnya agak depressed la dua tiga hari ni. Masalah family, mak aku eksiden sebelum ni, so aku ngan abah kena uruskan semuanya, dari proses amik kereta dari balai, hingga ke bengkel. Good thing, kawan – kawan kelas aku sangat memahami dan dorang sanggup cover hamba Allah yang sorang ni untuk dua hari attendant.

After two days absent without any m.c, aku rasa benda yang melibatkan eksiden kereta mak aku tu 90 % dah setel. Aku pun slow talk dengan abah, orang nak balik maktab, dorang rindu dah tu. Dorang tu to refer kawan – kawan kelas aku. Kitaorang da empat tahun bersama, belajar satu bumbung, duduk bawah dua air cond, mengadap muka lecture yang sama tiap – tiap sem. So boleh disimpulkan kita orang ni dah macam 1 family.


Aku amik tiket bas mayang sari, pukul 9.00 malam ke kuala Terengganu, dan macam biasalah, disebabkan aku ni bakal cikgu yang kononnya mesra alam. Setiap kali naik bas je, mesti dapat kawan baru. One thing for sure, orang boleh nilai seorang cikgu dari segi percakapannya.  Normaly, kalo dengan stranger, adab tu biasalah aku jaga, cakap dengan tone lembut, sopan santun tu kena ada, even stranger tu merupakan seorang apek yang berpakaian seluar pendek dan ber tshirt pagoda.


Tapi kalo dengan member, tak de punya aku nak berlembut, nak – nak perempuan, lagi sedap aku bagi kutukan. Mungkin sebab orang johor, lagi rapat seseorang, lagi kuat kutukan. Itu fakta dowh~


Sebelum naik bas, abah aku suh aku cari jodoh, kalo boleh junior – junior maktab. Aiseh, itu kalo junior nak kat aku, kalo tak nak? Tak kan aku nak promote diri cam calon jpp waktu proses pengundian.

Recently,  aku terpaksa berkasar dengan seseorang, mungkin sebab aku memang tak nak ada apa- apa hubungan dengan dia. Sometime dia kena sedar yang seorang gadis tak boleh memiliki dua perhatian dari dua lelaki yang berbeza. Salah seorang pasti akan terluka. Biarlah dia nak marah ke, terasa ke, yang aku pasti di akhir sem nnt, boyfriend dia pun mesti paham tindakan aku ni kenapa. Aku bukan perampas yang akan merampas akan sesuatu yang ditinggalkan dan aku tak amik hak orang.

Bagi aku, Tuhan maha adil, even aku yang banyak dosa ni, Tuhan masih lagi amik berat, aku sedih sebab dia, tapi akhirnya Allah bagi lagi rezeki lebih melimpah ruah. Pointer aku 3.78 sem lepas, seriously aku pun tak jangka, gila apa, aku leave hall 30 minutes earlier, yet result macam budak yang jawap paper tebal 8 muka surat. Kadang – kadang kita tak jangka kan? Sebab tu orang cakap, jodoh, rezeki, maut semua di tangan Tuhan.

Last msg dari dia, kami bahagia bersama, dia pun dah berubah dan bla blab la ( hello, ko dulu pun pernah bahagia ngan aku gak). Err….seriously, aku tak kisah dan tak amik cakna, korang nak bahagia, nak tergolek ke ape? Itu bukan urusan aku. Aku ada fixed future aku sendiri. Bukan niat nak takbur, ko rasa bahagia dengan situasi cam ni? Come on, ex ko budak maktab, aku pun budak maktab, permikiran kami tak sama, tapi one thing for sure, kenapa nak amik gadis yang tak tetap pendirian untuk dijadikan isteri? Nasihat aku, kalo tak nak ditinggalkan untuk kali kedua, (macam dia buat kat ko dulu) ko belajar betul – betul, masuk u. Cuba elakkan kolej atau pinjaman ptptn yang maksimum.Jangan jadi wanita yang tak boleh hidup tanpa lelaki, tapi jadilah perempuan yang lelaki perlukan sebagai teman hidup. Ada beza ok

Aku ? aku hanya berdiri di atas pentas dunia, aku tak mengimpikan syurga dan tak bersedia untuk neraka. Tuhan maha adil dan saksama, tapi kalo ko terus lalai dan terleka, tak mustahil untuk dia tinggalkan kau untuk kali kedua. Daa.. I close my case

Wednesday 13 June 2012

Membeli belah, bukan fitrah aku



 Dalam hidup ni, banyak benda yang aku tak suka buat, antaranya menemani perempuan membeli belah.  Korang tau je la, wanita dan shoping memang tak boleh dipisahkan. Mereka rambang mata melihat itu dan ini, dan akhirnya hanya satu atau dua je yang berkenan di hati
.
Mengenangkan ramadhan makin nak dekat, adik perempuan aku tak habis – habis desak aku untuk membawa dia ke Bandar Tangkak untuk membeli kain baju rayanya. Aku tengok abah, dari riak wajahnya, memang aku tahu yang dia hendak bersara dalam menguruskan baju raya adik beradik aku. Cukup dengan penyerahan kad bank dan kunci kereta bermaksud, sekarang ni, kau uruskan adik – adik kau, abah nak tengok boleh tak kau uruskan family?

Aku tak pandai dalam bab – bab pakaian perempuan, biasanya aku mintak kawan perempuan aku untuk teman aku beli baju raya perempuan ni. Sebab biasanya perempuan memang pandai sikit pasal kain dan tawar menawar. Tahun lepas sebab tak sempat, aku ajak adik – adik perempuan aku untuk beli baju siap kat Baitulmall Muar, dan sebab last minit, memang banyak la kos yang dikeluarkan.


Orang perempuan ni, baju raya, bukan sehelai,  paling – paling kurang pun 2 3 helai baju kurung.  Kalo tak beli, mahu muncung bibir sedepa. Tu belum kira tudung yang kalo boleh nak sedondon dengan corak bunga - bunga kat baju tu.  Jadi perempuan, memang complicated. Dorang cerewet, jarang aku jumpa perempuan yang cakap, “alar, baju raya 2 3 tahun lepas kan ada lagi, pakai je la”.

Yang paling aku tak paham, dorang sering merungut tak de baju untuk pergi ke sesuatu majlis, padahal boleh setiap bulan aku tengok dorang dok tambah koleksi baju kurung, manik dan sebagainya. Koleksi tudung jangan cerita la, tudung bawal, tudung endon, pashmina, selendang yang dok lilit – lilit kat leher. Dan paling kerap aku tengok awek – awek sekarang layan fesyen Hana Tajima, ok la, sweet, elok bertutup dari terdedahkan?


Sampai je bandar Tangkak, gedung tekstil Johor.  Memang banyak la kain – kain yang boleh ko pilih berdasarkan kos dan citarasa ko. Semua ada. Ada yang sampai 70 peratus discount, ada yang beli satu percuma satu lagi. Ada yang ofter kalo beli selori kain, boleh dapat discount gila – gila. Dan disebabkan Tangkak merupakan satu tempat yang menjual pelbagai aneka kain, persaingan memang sengit dari setiap peniaga. Masing – masing tak nak kalah buat promosi, dan pelayan – pelayan biasanya terdiri dari anak – anak dara hingga ke mak cik – makcik yang masih lagi bergetah yang tak jemu – jemu melayan pelanggan membeli kain.




Perempuan ni ada satu habbit, kalo dia pergi bershoping, dia nak pelayan ada sekali sebelah dia supaya senang dia nak pilih, banding dan beli kain tersebut. Berbeza dengan aku, aku suka jalan – jalan, tengok – tengok, belek – belek, semua aku buat sorang diri. Bila dah confirm, baru aku amik barang tu dan bawak ke kaunter. Tak de privacy dalam membeli kalo ada pelayan di sebelah ko. Rasa macam diperhatikan,  tapi kalo pelayan tu cam Lisa Surihani, Shila Amzah ke, mungkin aku pertimbangkan untuk berada di sebelah.



Aku tengok ada golongan brother dok pilih kain, aku senyum kat bro tu pastu bro tu senyum balik kat aku .  Teman girlfriend ke? Dia senyum lagi, biasalah orang perempuan kan? Time tu aku dengan dia tergelak – gelak. Lelaki dan window shopping adalah ibarat minyak dan air. 


Siap membeli apa semua, aku nak balik rumah seawal mungkin. Sampai je rumah, aku membantingkan badan ke tilam.  Aku boleh angkat sawit sampai penuh satu lori, tapi untuk teman adik aku shoping kain selama dua jam, boleh membuatkan aku terlena selepas asar. Penat…

Ada sepasang kain tu, cantik sangat, even aku lelaki, aku rasa nak hadiahkan kain tu kepada sesorang untuk dibuat kebaya or baju kurung, Sometime bila ko single ni, mula la ngada – ngada nak berteman, hampeh punya nafsu. hahah

Tuesday 12 June 2012

aku mintak maaf



Sejak duduk rumah ni, kerja kat ladang, life aku banyak dipengaruhi cara hidup orang Indonesia.  Seperti kebiasaan lagu – lagu dangdut kappalo sering berkumandang di telinga.  Semua ni gara –gara Yanto yang suka melayan dangdut sambil bekerja.

Indonesia dan dangdut, ibarat laptop dan facebook, tak perfect sebuah computer riba kalau facebook tidak menghias screen.  Begitulah rentak hidup mereka.  Lagu Dangdut kagen band, via vallen dan mas idayu memenuhi senarai lagu di handphonenya.

Aku pun layan gak la sekali sekala.  Aku suka layan lagu cinta 100 percent dari Mas Idayu. Mungkin sebab aku suka lagu tu cam mengagungkan cinta seorang lelaki.  Agak terhibur la dilayan  oleh lelaki yang single cam aku ni.

Dulu orang kata, orang lelaki mulut manis, lidah tak bertulang, ibarat menanam tebu di tepi bibir. Tapi aku rasa mostly, perempuan yang banyak buat cam tu.  Dulu janji tak kan melukai apa semua. Last – last sama je. Hahahaha. Tak pe, pengalaman beb,.



Sejak single ni, memang la rasa sunyi. Aku pernah tanya kawan baik aku, (perempuan) apa rasanya bila terasa sunyi. Dia kata dia sedih, kadang – kadang cemburu pun ada bila melihat kawan – kawan mereka dilayan baik oleh teman lelaki. Erm.  Sejujurnya, aku pun rasa macam tu. Aku rasa sunyi kalo duduk di depan laptop sambil mengarang blog ni, tengok handphone, tak de msg mahupun call. Tapi bila aku baca buku “jangan bersedih, kebahagiaan bersama mu”. Ko akan mula paham kenapa Allah bagi ko kesedihan sebab dia nak bagi ko pengajaran.

Pengajarannya? Biarlah aku je yang tahu.

Aku tengok gambar – gambar time aku praktikal dulu. Aku rasa aku rindukan murid – murid aku. Betul orang cakap, nakal – nakal kanak – kanak pun, mereka tak akan melukai hati kau seperti orang dewasa. Kanak – kanak tak pandai berjanji, tapi mereka lebih pandai menghargai.  Tak pe anak muridku, naik cuti ni cikgu datang lawat korang ea
.

 Aku layan seindah sakura petang tadi, entah ape cerita, fahrin tu sebut satu dialog “ kita terlalu memikirkan kesedihan hari ni, tapi kita lupa kebahagiaan akan datang”. Ok, aku admit, slow by slow aku kena move on. Sorry, aku terpaksa amik tindakan cam ni. 



Aku teringin nak bina satu life dengan seorang perempuan yang betul – betul komited nak bina satu keluarga yang bahagia. Boleh dan sanggup hidup susah dan dan senang dengan aku.  Dia boleh terima baik dan buruk aku. Dan paling penting, dia boleh menghormati keluarga aku. Tu je, tak banyak.

Abah aku perasan aku cam sedikit sunggul, bukan apa, nak ajak kawan – kawan main futsal, semua belajar kat u, tak pun tengah kerja.  So aku lepak dengan Yanto, Aku try ignore lagu – lagu sedih, gila apa, ko dah sakit perut, ko makan julap lagi. Lagi la meragam kan?  So move on~

Kepada orang sana, sorry, bukan aku tak boleh nak jadi kawan kepada bekas kekasih lama. Tapi ada tempohnya, mungkin kerana ego aku tinggi dan hati aku mudah terluka. Boleh nak jadi kawan, but it takes years to cure this pain. Ex aku no 1 dan 2 tu amik masa dua tiga tahun untuk jadi kawan. So apa kata ko amik masa ni, untuk balik semula ke ex ko. Itu yang lebih baik kan?

Jangan la risau, aku tak benci kau, Cuma aku rasa aku terlalu pentingkan diri, aku nak jaga hati aku sendiri sebab tiada orang lain akan jaga hati ni. So lupakan kenangan lama, Jangan simpan gambar – gambar aku lagi sebab tu akan melukakan lagi hati ko.

Ape – ape pun aku doakan ko bahagia dengan ex ko~ amin 

Monday 11 June 2012

jaga anak perempuan lebih susah dari sekandang lembu?



Ramadhan hampir tiba, yet, aku tak buat practice apa – apa lagi. Gua duduk di anjung sambil menaip beberapa patah perkataan.  Sementara diri sibuk menghindari demam euro di facebook, aku suka melihat telatah manusia yang terikut – ikut dengan trend hidup semasa. Ramai awek – awek yang mula mengaku mereka peminat setia bola sepak dengan status yang tak kurang gediknya, wahlal sebelum ni life mereka lebih kepada shoping, tutti fruity, dan Mcd.


Aku baru lepas perintah adik perempuanku  Nur Kamilah @ Ella untuk membuat air teh untuk abangnya yang diktaktor ni. Jelas terpampang wajah masam menghiasi muka bila menerima titah mohor kekanda sulungnya. Namun apakan daya, dia cuma adik yang bertubuh halus manakala abang sulongnya bertubuh besar membuatkannya dia terpaksa patuh dalam keadaan rela.
ni adik perempuan aku no 2, Nur Kamilah

Seteko air teh o dihidangkan di atas meja bersebelahan laptopku. Hehehe, esok aku niat nak belikan pencuci muka untuk dia, garniaer light rasanya nama tu. Dia marah sebab aku guna pencuci muka dia dari minggu lepas sampai ke hari ni.  Dia sering bising sejak jerawat – jerawat kecil mula menghiasi dahinya, dan biasanya jawapan aku, “biasalah tu, ko tu dah nak jadi anak dara, memangla hormone dah mula berubah” jangan kopek (picit) nanti jadi parut, dah susut nilai”. Dan time tu la dia akan tarik muncung sepanjang depa. Mungkin kerana dia menyesal kerana abang sulong dia sangatlah tak romentik orangnya.

Dalam hidup ni, ko biasa dengar kadang – kadang pepatah orang tua “ nak jaga lembu sekandang, lebih senang dari jaga seorang anak perempuan”.  Well kalo ko tanya pendapat aku, si pengembala lembu, tak de la susah mana, bagi makan, bagi minum, cukup beberapa tahun, buat korban.  Cuma kalo dapat lembu liar, memang agak stress gak la nak handle, tapi lama – lama ok.


Anak perempuan? Aku tak de pendapat sebagai parents, Cuma aku boleh bagi pendapat sebagai abang. Mempunyai dua orang adik perempuan, yang agak dengar kata, kaki duduk rumah, tak ikut jantan naik motor, itu merupakan salah satu kesenangan buat aku. Hati aku tenteram, bila aku balik kebun, adik – adik perempuan aku, duduk rumah, main facebook, baca novel dan sewaktu dengannya.

Pernah minggu lepas, sekolah adik aku buat pertandingan battle of the bands kat sekolah dia. Dan biasalah naluri remaja – remaja baru nak naik ni. Entah kenapa pukul 5 petang, adik aku, Ella call handphone aku, cakap nak pergi tengok konsert tu kat sekolah dia.  Aku rasa  pihak sekolah tu dah bangang, wat pertandingan battle of the band kat sekolah? buat lepas pukul 9 malam plak tu? Apakah ini yang dikatakan pembangunan insan? Jangan cita banyak, aku pun cikgu gak.


Aku apa lagi, amik kereta, terus pecut dari kebun ke rumah. Sampai saja rumah,  adik aku buat muka seposen dia, sambil membulat – bulatkan mata macam cat in the boots.  Aku pun tak sampai hati, aku bagi dia pergi, dengan syarat aku ikut sekali. Maka temeterailah perjanjian di antara adik dan abang untuk pergi battle of the bands.


Adik aku dress up. Baju lengan panjang, dan berseluar jean, tudung tu menutupi dada dan disarungkan lagi dengan girl sweater.  Aku menjeling, dan dia pun paham yang aku cukup tak berkenan bila tengok dia berseluar jean, walaupun abang sulungnya merupakan pencuci mata tegar melihat anak dara lain berpakaian sendat tapi aku cukup tak rela kalo ada jantan – jantan lain menatap adik aku dari pelbagai aspek. Memang mintak pedang samurai aku la jawabnya.
nak mainkan adik aku? talk to my sword~


 Sampai sahaja di sana, tu dia, korang boleh tengok couple – couple muda dok pegang tangan. Awek – awek sekolah yang dah mula pandai free hair pada waktu malam, sedangkan waktu siangnya manis bertelitup dengan tudung. Rambut perang sana sini. Aku puji pihak sekolah sebab berjaya menarik kehadiran pelajar pada waktu malam, tapi kalo kehadiran macam ni buat apa?  Dah tak ubah macam tanjung ketapang pun ada . Tempat orang Muar biasa dok layan asmara muda mudi.

Aku pegang tangan adik aku, aku cukup risau kalau ada tangan lelaki lain yang nak pegang tangan dia, macam insiden di depan aku ni. Awek tu dok layan lentok kepala kat bahu pakwe dia. Memang romentik, pandai awek dia bermanja, tapi pikirlah. Aku empat kali couple, takde  satu pun yang kekal. Agak  - agak, dia bagi nikmat tu kat bf pertama, kedua dan ketiga, suami dia nanti dapat sisa je. Oh, sungguh sterotype permikiran gua, tapi aku rasa sterotype gua ni lebih bagus demi menjaga maruah adik – adik perempuan gua.

Tak sampai setengah jam, aku tarik tangan  adik aku, dan bisik kat telinga dia, “balik rumah jom, kita beli berger, leh makan sama – sama dengan emak ngan afiq. Adik aku senyum, dan aku pun paham dia tak biasa dengan situasi ni.

Aku admit aku bukan lelaki yang baik, aku horny, aku gatal merenyam dan kadang - kadang aku suka like gambar perempuan free hair dan tersembul cleavage kat facebook (melayu terutamanya) . Tapi bila tiba part adik – adik perempuan, ko akan sedar, kenapa mak ko lahirkan ko sebagai anak lelaki, yang pertama antaranya. Kalo abah, ayah ko tak de, ko sebagai anak lelaki merupakan wali untuk akak dan adik perempuan ko.

Ko tak suka adik perempuan ko dilukai, dicabuli jasad dan rohani, dan mengandung anak haram, so ko jangan buat kat anak dara lain. Tuhan maha Adil, jangan sentuh hak orang, dan Tuhan akan jaga hak ko.

Saturday 9 June 2012

abah



Aku menekan pedal minyak sederas mungkin, sementara menantikan kereta lain memotong kereta yang dipandu, aku memerhatikan cermin sisi. Bimbang jika ada lori – lori traktor yang ingin masuk ke lorong kanan. Terasa berderau darah bila memikirkan insiden hampir dihimpit lori tangki minyak petronas yang ingin memotong kereta aku 10 minit yang lepas

Abah di sebelah, menikmati tidur tengah harinya seenak mungkin di tempat duduk penumpang hadapan. Aku cukup risau kalau abah terjaga, bukan apa, setiap tingkah laku pemanduan aku sering ditegur oleh abah hingga kadang – kadang aku rasa ingin memandu seorang diri tanpa ada seorang co – pilot yang menemani.

Jalan lurus highway dari batu pahat ke johor bharu ku harungi dengan kelajuan 110 km per hour. Mata terasa mengantuk, tapi bila mengenangkan perbualan antara aku dan abah pagi tadi membuatkan mataku segar dan lorekan senyuman mula terlukis di antara bibir.

Kadang – kadang, aku berasa beruntung, walaupun abah aku sering dianggap garang oleh rakan – rakan sepermainan ku dahulu, pada hakikatnya abah begitu sporting. Abah begitu mudah untuk dibawa berbincang, berborak dan bercerita tentang pengalaman hidupnya. Abah seperti aku juga dahulu pada zaman mudanya, ada perasaan yang dipanggil cinta muda mudi. Pernah jatuh cinta, ketawa, bahagia, kecewa dan berpisah, itu semua adalah lumrah hidup manusia.

Aku membuka satu medan perbincangan dengan abah, bagaimana rasanya bila cinta dihalang orang tua kerana berbeza tempat dan budaya.  Abah begitu paham, kerana dia sendiri pernah merasai, tiada halangan dari abah untuk aku mencari jodoh dari negeri lain, kerana itu adalah hidup dan hak aku untuk merancang masa depan aku bagaimana. Abah mengesyor aku untuk berjumpa dengan ayah kepada perempuan yang aku suka terlebih dahulu, dapatkan kebenaran untuk berkawan dengan anaknya. Sekiranya tiada halangan, proceed macam biasa, dan abah pula akan datang menyusul untuk meminang.

Abah cakap, kalau ada jodoh, tidak akan ke mana. Jangan pernah menjanjikan apa – apa kepada manusia sekiranya tiada kemampuan dan kudrat untuk melaksanakannya.  Aku terdiam,  walaupun niat hati ingin kahwin awal, tapi aku sedar, aku masih muda, masih mentah, satu peringkat umur yang diketogerikan hijau, umbun – umbun muda di awal subuh hari.
Aku serahkan semuanya kepada Allah, kerana Allah dah tetapkan segala – galanya untuk hambanya. Dari sekecil – kecil kuman, sebesar – besar gunung, sehalus – halus jin dan segala terang dan nyata, Allah itu maha mengetahui baik buruk sesuatu peristiwa Cuma manusia yang sering merumitkan segala perkara.

Sampai sahaja di Johor Bharu, kereta ku pandu untuk masuk ke simpang UTM. Kami menuju ke falkutlti research and eductation. Dengarnya terdapat sedikit pembetulan mengenai muka hadapan Thesis abah yang perlu dibuat bagi membolehkan abah didoktorin.  Dua jam diperuntukan semasa di Johor Bharu bagi membetulkan sedikit kesilapan kecil. Selesai sahaja urusan tesis ini, kami bergegas pulang ke batu pahat terlebih dahulu.
Sampai sahaja di persimpangan Tongkang pecah, abah kata hendak melawat dusun duriannya di  Parit Jabong yang berkeluasan 1.5 ekar.  Dusun tinggalan arwah atuk,  untuk anak – anak dan cucu – cucunya.

Seperti aku duga,  5 kereta sorong diperlukan bagi memungut buah durian yang bertaburan di tanah dusun atuk. Masih teringat, zaman dahulu, atuk sering membawa cucu – cucu lelaki terutamanya bagi memungut buah durian dan memetik buah pulasan. Aku rindukan kenangan dahulu, namun semua cucu sudah besar, ada juga yang sudah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan cahaya mata. Terasa diri makin tua bila mengenangkan hari – hari yang berlalu.

Abah melihatku memungut durian dan dikumpulkan satu tempat sebelum diangkat untuk dipindahkan ke dalam kereta.

Abah: dulu, abah macam kau, ikut je atuk ko masuk kebun, kutip durian pastu jual kat tokey cina
Aku: dulu atuk garang tak bah?
Abah: hish, garang, semua anak – anak takut dengan dia.
Aku: hehe,  pokok durian tu dah berapa puluh tahun abah? (sambil jari menujuk ke arah sebatang pokok durian yang yang besarnya 3 peluk lelaki dewasa.
Abah: entah, sebelum abah lahir, pokok durian tu dah ada, arwah atuk ko yang tanam dulu. Nanti tanah yang abah baru buka tu abah nak tanam pokok durian kahwin,  nanti anak – anak kau boleh datang kutip durian macam ko buat ni ha.

Bagi aku, walaupun abah seorang yang agak garang dan bengis wajahnya, abah sebenarnya seorang yang berfikiran jauh dan suka berkongsi pendapat dengan orang lain.  Aku masih teringat, peristiwa 2 minggu sebelum aku menduduki final. Abah begitu beriya mahu membeli kereta baru, Toyota hilux yang berharga sekitar rm 90 ribu kalau tak silap aku.
Tiada halangan dari anak – anaknya kerana bagi aku, sudah tiba masanya, abah menikmati hasil kejayaannya dengan duit dari titik peluhnya sendiri. Namun fikiran abah berubah bila ada orang di sebelah kebun kami menawarkan untuk menjual tanahnya dengan harga rm 130 ribu 4 ekar.  Dan aku antara orang pertama yang diberitahu mengenai hasratnya untuk membeli tanah baru tersebut berbanding impiannya untuk berkereta mewah.  Aku tersenyum, kerana abah pernah cakap, abah beli bukan untuk abah, tapi untuk anak – anak abah. Abah ni hidup pun tak lama dah nept, tapi seelok – eloknya biarlah abah tinggalkan korang dengan berharta.

Ungkapan abah tersebut membuatkan aku teringat tentang seorang kerani di sekolah abah yang sering memaksa abah untuk berkereta baru. Kerani tersebut tahu mengenai gaji – gaji guru di sekolah abah termasuk gaji abah sendiri. Masakan seorang guru yang berjawatan DG 48 tapi masih berkereta buruk, tidak ubah seperti kereta perang dah layaknya.  Abah tersenyum dengan gurauan kerani tersebut dan satu ungkapan abah yang akan aku jadikan sebagai pegangan ke akhir hayat.

Harta tak akan dibawa sampai ke kubur, tapi bukan ke seelok – eloknya kita tinggalkan anak – anak kita dengan sedikit perlindungan, supaya di akhir hidupnya, mereka tidak akan meminta – minta dari orang lain.

Ramai orang tanya, kenapa permikiran aku berbeza dengan permikiran orang lain, jawapan yang begitu mudah, kerana aku ada seorang guru yang bagus, iaitu abah .